ASMADI (kiri) menyampaikan bantuan kewangan kepada Salbiah bagi pihak anaknya, Ahmad Fazlan yang mengalami lumpuh selepas saraf tunjangnya rosak. FOTO Mohd Rafi Mamat
ASMADI (kiri) menyampaikan bantuan kewangan kepada Salbiah bagi pihak anaknya, Ahmad Fazlan yang mengalami lumpuh selepas saraf tunjangnya rosak. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Penderitaan Ahmad Fazlan Mohd Zubir, 31 yang mengalami lumpuh selepas saraf tunjang rosak mendapat perhatian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang menyediakan bantuan kewangan RM600 sebulan.

Selain itu, MUIP turut memberikan baucar keperluan asas RM200 sebulan dan bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM2,000 kepada Ahmad Fazlan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata bantuan bulanan mula dibayar November ini bagi meringankan beban Ahmad Fazlan.

Katanya, difahamkan Ahmad Fazlan kini dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Salbiah Mohd Salleh, 50 yang turut mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

"Saya kagum melihat semangat dan pengorbanan seorang ibu (Salbiah) yang berkorban berhenti kerja semata-mata untuk menjaga Ahmad Fazlan yang kini hanya mampu terlantar diatas katil.

"Semua urusan dilakukan wanita terbabit kerana anaknya tidak mampu bergerak, pengorbanan yang begitu mulia seorang ibu pada anaknya," katanya selepas melawat pesakit berkenaan di Taman Sungai Karang Dua Bypass di sini, hari ini.

Kisah penderitaan Ahmad Fazlan yang mengalami lumpuh paras leher ke bawah selepas saraf tunjangnya rosak disiarkan akhbar ini hari ini.

Dia kini hanya bergantung sepenuhnya pada susu khas selain terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan 24 jam.

Sebelum ini dia menerima rawatan selama lapan bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), pembedahan sepanjang kira-kira 55 sentimeter (sm) daripada bahagian tengkuk hingga tulang belakang bawah pinggang bagi membuang cecair nanah juga dilakukan.

Asmadi berkata, difahamkan Ahmad Fazlan kini menerima bantuan berupa susu khas sebanyak 17 tin sebulan, katil, tilam khas dan mesin bantuan pernafasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Bantuan kewangan turut diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 12:38 PM