MUHAMMAD Afiq (atas)  dan Anis Badzlina hidap komplikasi jantung.
MUHAMMAD Afiq (atas) dan Anis Badzlina hidap komplikasi jantung.

Kuala Lumpur: Memilukan apabila dua beradik berusia sembilan dan 13 tahun terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak disahkan menghidap Restrictive Cardiomyopathy (RCM) yang menyebabkan injap jantung mereka lemah.

Lebih menyedihkan, Muhammad Afiq Ridhwan Burhanuddin, 13, dan Anis Badzlina Burhanuddin, 9, mula menghadapi komplikasi sakit perut hingga kembung dan muka sembap sejak 2012.

Ibu mereka, Rohana Razak, 46, berkata, anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu sering keluar masuk Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan apabila mengadu sakit perut dan lemah badan.

Katanya, dua beradik itu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dan dirawat selama dua minggu.

“Setakat ini doktor hanya dapat memberi ubat penahan sakit dan ubat memudahkan mereka kencing.

“Jika diikutkan doktor beritahu penyakit dua anak ini tiada ubat dan mereka akan dipindahkan ke HTAA petang ini (semalam) supaya dekat dengan rumah,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di IJN, di sini, semalam.

Menurutnya, dua anaknya terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan hampir 24 jam sehari dan hanya menanggalkannya ketika makan atau ke tandas.

“Mereka akan mendapat rawatan dan hanya dibenarkan pulang selepas kami berjaya mendapatkan alat bantuan pernafasan untuk kedua-duanya di rumah,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana kos rawatan kedua-dua anaknya ditanggung menggunakan surat jaminan (GL) tempatnya bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 6:13 AM