GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Tiga penerbitan bertajuk 'Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)', 'Heartstopper Volume 2' dan 'Cekik' dikenakan perintah larangan kerana mengandungi kandungan yang boleh memudaratkan moral.

Pewartaan itu dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri menerusi Warta Kerajaan P.U.(A) 328, 329 dan 330 bertarikh 12 Oktober 2022.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata, kandungan penerbitan bertajuk 'Chelsia Amanda (Berdasarkan Kisah Benar)' memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral, bertentangan nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan.

"Kandungan penerbitan bertajuk 'Heartstopper Volume' dan 'Cekik' pula dilihat cuba mempromosikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta berunsur lucah yang melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.

"Amalan hidup songsang adalah jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama serta norma hidup masyarakat," katanya.

Perintah larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang membuat kesalahan berkenaan boleh dipenjarakan maksimum tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya seperti ditetapkan mengikut Seksyen 8(2) akta sama.

Orang ramai yang mahu membuat aduan berkaitan boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN di talian 03-88868047, faks 03-88891682 atau Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 2:47 PM