Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, mengadakan Sidang Media Mangsa Tawaran Kerja di Luar Negara sebagaivScammer di Myanmar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin, Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, mengadakan Sidang Media Mangsa Tawaran Kerja di Luar Negara sebagaivScammer di Myanmar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin, Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis Sarawak menerima tiga laporan mengenai lapan rakyat negeri ini yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, satu laporan dbuat di Sibu membabitkan lima mangsa, satu laporan di Tanjung Manis, Mukah membabitkan dua mangsa dan satu laporan lagi di Julau membabitkan seorang mangsa.

Mohd Azman berkata, berdasarkan laporan dibuat ahli keluarga mangsa, mereka diperdaya untuk bekerja di pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian sebagai 'scammer' di Myanmar.

"Semua mangsa adalah lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun dan mereka terpedaya selepas tertarik dengan tawaran kerja di Thailand dengan gaji antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan menerusi iklan yang tidak menyatakan pekerjaan apa di laman sosial Facebook.

"Selepas menerima tawaran itu, ejen menyediakan tiket serta menguruskan pasport mereka untuk ke Thailand," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Menurutnya, setibanya di Thailand, mangsa kemudian dibawa ke Myanmar sebelum dipaksa bekerja sebagai 'scammer'.

"Jika gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka bukan sahaja didenda malah didera dan diugut akan dijual kepada ejen lain.

"Semua mangsa turut dihalang menghubungi keluarga, namun ada antara mereka berjaya menghubungi keluarga secara sembunyi menggunakan aplikasi WhatsApp yang memaklumkan masalah yang sedang mereka hadapi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah merujuk kes itu ke Bukit Aman, Interpol serta Aseanapol dan turut memaklumkan kepada Kementerian Luar Negeri dan konsulat Malaysia bagi membantu mengesan lokasi semua mangsa di Myanmar seterusnya berusaha menyelamatkan mereka.

"Kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)," katanya.

Menurutnya, sepanjang sembilan bulan tahun ini, polis Sarawak menerima 25 laporan penipuan pekerjaan di luar negara membabitkan 36 mangsa iaitu 22 lelaki dan empat wanita.

"Semua laporan itu diterima daripada ahli keluarga mangsa dan saya mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran kerja gaji lumayan di luar negara," katanya.

Sementara itu, mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Jepak yang akan diadakan 4 November depan, Mohd Azman berkata, pihaknya bersedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran proses demokrasi itu.

"Kami akan memutuskan dalam masa terdekat berhubung berapa ramai anggota serta aset untuk digerakkan mengawal PRK itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 3:27 PM