DATUK Seri Abd Jalil Hassan (kanan) ditemui pemberita selepas kepulangan 12 daripada 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja, di KLIA2 hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Abd Jalil Hassan (kanan) ditemui pemberita selepas kepulangan 12 daripada 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja, di KLIA2 hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Sepang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 35 laporan membabitkan 45 warga Malaysia yang dipercayai terkandas di luar negara seperti di Myanmar, Thailand dan Laos, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Beliau meminta waris mangsa yang terkesan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana yakin ada lagi waris yang tidak berbuat demikian.

"Kita minta mereka tampil dan buat laporan bagi mudahkan pihak kita mengesan lokasi waris mereka yang terkandas di negara berkenaan," katanya kepada media selepas ketibaan 12 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, hari ini.

Abd Jalil berkata pihaknya akan mengambil keterangan daripada kesemua mangsa yang baru pulang itu di KLIA2 sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Seramai 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai 'scammer' oleh satu sindiket di Preah Sihanouk di Kemboja setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan dan diselamatkan pada 5 April lalu.

12 daripada mangsa berjaya pulang ke tanah air hari ini manakala empat lagi masih berada di Kemboja kerana positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 1:46 PM