RUSDI pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM). FOTO Nadim Bokhari
RUSDI pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM). FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Terpedaya dengan tawaran menarik termasuk dijanjikan gaji lumayan menyebabkan ada rakyat negara ini tidak serik untuk menerima tawaran bekerja di luar negara, meskipun mereka pernah terkandas selepas ditipu.

Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini pihaknya mengesan 16 individu yang pernah menjadi mangsa penipuan pekerjaan, terkandas semula di luar negara.

Beliau berkata, kurang kesedaran serta mudah percaya dengan janji menarik itu menyebabkan mereka sanggup mengambil risiko menerima tawaran.

"Kita mengenalpasti 16 individu itu pernah kita selamatkan dan bawa mereka balik ke Malaysia.

"Tetapi mereka kini kembali semula ke luar negara dan sekali lagi menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, di sini, hari ini.

Seramai 48 Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) di Sabah dan Sarawak menghadiri kursus selama lima hari yang bermula sejak 25 Februari lalu.

Rusdi berkata, 16 individu terbabit dikenal pasti kini terkandas di Dubai, Thailand, Amerika Syarikat (AS), Kemboja, Singapura, Vietnam, Australia dan Filipina.

Justeru katanya, kini pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra dan polis negara terbabit bagi mengesan lokasi sebenar mangsa seterusnya menyelamatkan mereka untuk dibawa balik ke Malaysia.

Menurutnya, dalam tempoh 2021 hingga 23 Februari lalu, sebanyak 354 laporan polis diterima berhubung jenayah penipuan pekerjaan membabitkan seramai 459 mangsa kalangan rakyat Malaysia.

"Daripada jumlah itu, seramai 326 orang berjaya diselamatkan manakala 133 orang lagi masih terkandas di luar negara antaranya di Kemboja, Myanmar, Thailand, Laos, Dubai, Filipina dan Peru.

"Oktober tahu lalu, seramai 43 rakyat Malaysia diselamatkan oleh polis Republik Peru dengan 40 daripadanya adalah mangsa dari Sarawak," katanya.

Menurutnya, 73 peratus daripada mangsa itu dipaksa bekerja sebagai scammer, 12 peratus sebagai khidmat pelanggan, lapan peratus bekerja di kasino dan tujuh peratussebagai tukang masak serta lain-lain pekerjaan.

Selain itu, Rusdi berkata sebanyak lima sindiket yang menjalankan penipuan pekerjaan itu berjaya ditumpaskan dalam lima siri operasi di Lembah Klang dan Johor dalam Ops Bersepadu pada tahun 2022 dan 2023.

"Seramai 17 individu dengan enam daripadanya wanita ditahan dan mereka dikenalpasti merekrut rakyat negara ini untuk bekerja di luar negara.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 14 ATIPSOM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 2:47 PM