Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Malaysia menuntut masyarakat antarabangsa untuk terus bersuara menentang kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata terdapat kemunafikan yang nyata dalam usaha menangani isu Palestin.

"Masyarakat antarbangsa mesti bersuara menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, hak asasi mereka dicabul, berlaku ketidakadilan dan penyalahgunaan oleh rejim," katanya yang berbaju Melayu biru muda.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 di sini, hari ini.

Anwar menegaskan, di negara Asia Barat itu, rakyat Palestin diusir secara berterusan daripada penempatan mereka dan diganti dengan banyak penempatan haram, sekaligus melucutkan tanah rakyat Palestin yang menjadi hak milik mereka selama ini.

"Ini satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa. Ia juga menimbulkan halangan besar kepada penyelesaian dua negara, apatah lagi dengan pembunuhan yang berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 12:20 AM