PAPAN tanda 2023 berlatarkan pemandangan Baitulmaqdis. FOTO AFP
PAPAN tanda 2023 berlatarkan pemandangan Baitulmaqdis. FOTO AFP
BERNAMA

Istanbul: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Sabtu menyambut baik langkah Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang meminta pendapat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pendudukan Israel di Palestin.

Dalam satu kenyataan, OIC memuji pendirian negara-negara yang menyokong resolusi itu yang menyaksikan komitmen tegas mereka terhadap undang-undang antarabangsa dan selaras dengan pendirian ke arah menyokong perjuangan Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Pada Sabtu, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi meminta pendapat ICJ mengenai akibat undang-undang pendudukan haram Israel di wilayah Palestin.

Resolusi itu disokong 87 negara anggota, 26 membantah dan 53 berkecuali.

Di bawah resolusi itu, ICJ diminta untuk menentukan "akibat undang-undang yang timbul daripada pencabulan berterusan Israel terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri" dan "tindakan rejim itu yang mahu mengubah komposisi demografi serta status" Kota Baitulmaqdis.

Resolusi berkenaan turut meminta Setiausaha Agung PBB membentangkan laporan mengenai pelaksanaannya dalam sesi Perhimpunan Agung PBB yang akan datang pada September 2023.

Kira-kira 666,000 pendatang tinggal di 145 penempatan dan 140 pos (tidak dilesenkan oleh kerajaan Israel) di Tebing Barat yang diduduki termasuk di Baitulmaqdis Timur, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Peace Now Israel.

Di bawah undang-undang antarabangsa, semua penempatan Yahudi di wilayah yang diduduki dianggap haram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 3:19 PM