MENTERI Luar Israel Gabi Ashkenazi (kiri) ‘bersalam’ dengan Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah Zayed al-Nahyan sambil
MENTERI Luar Israel Gabi Ashkenazi (kiri) ‘bersalam’ dengan Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah Zayed al-Nahyan sambil
Dr.Muzaffar Syah Mallow

Tindakan Bahrain yang mengikuti jejak langkah negara Emirah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel adalah satu bentuk pengkhianatan besar kepada perjuangan bertahun-tahun rakyat Palestin ke atas segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan Israel kepada mereka. Tindakan yang dilakukan oleh Bahrain ini jelas menunjukkan kepada kita semua betapa lemahnya semangat solidariti atau persaudaraan sesama Islam yang sering dilaung-laungkan oleh semua negara Islam sebelum ini.

Langkah yang diambil oleh Bahrain ini meletakkan diri mereka sebagai negara Islam keempat dalam kalangan negara Islam yang mengadakan hubungan diplomatik dan mengiktiraf kewujudan Israel selepas Mesir, Jordan dan UAE. Terdapat 57 negara Islam di serata dunia. 

Tindakan yang diambil Bahrain dan UAE ini dibimbangi akan menyebabkan lebih banyak negara Islam lain yang akan mengambil langkah sama untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sekali gus memberi pengiktirafan kepada kewujudan Israel sebagai sebuah negara. Semua negara perlu ketahui dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dan mengiktiraf kewujudan Israel, mereka juga mengiktiraf segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin. Buat sekian lama, Israel mengetepikan banyak peruntukan undang-undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Terdapat juga usaha diambil pihak Israel serta pihak tertentu yang bersekongkol dengan Israel untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka seperti pengisytiharan bandar raya Baitulmaqdis secara sepihak sebagai ibu kota Israel pada penghujung 2017. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netenhayu sendiri melalui kempen politiknya menyatakan banyak kali hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Ini jelas menunjukkan Israel memang tidak memiliki sebarang hasrat untuk berdamai dengan Palestin, malah tidak memiliki sebarang hasrat membenarkan kewujudan sebuah negara Palestin.  

Sudah ramai rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman dan penindasan oleh Israel termasuk warga tua, kaum wanita dan golongan remaja dan kanak-kanak. Pada masa sama, Israel melanggar berpuluh-puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok pemisahan di tanah milik Palestin serta menafikan hak jutaan pelarian Palestin yang berada di sekitar negara-negara Arab untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Daripada mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, satu tindakan tegas perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam masyarakat bertamadun serta berpandukan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan ialah menyingkirkan Israel terus daripada PBB. 

Israel perlu diingatkan penubuhan negaranya pada 1948 yang lalu banyak terhutang budi kepada PBB sendiri. Pada 1947, PBB memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British di Palestin. Keputusan terbabit ditentang keras oleh negara Timur Tengah dan banyak negara Islam di serata dunia.

Semenjak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah ditimbulkan oleh Israel terutama terhadap rakyat Palestin yang juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri.

Antara matlamat utama penubuhan PBB sebagai mana yang ditetapkan dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 adalah untuk mengelakkan perulangan konflik dan pertikaian yang hebat, menegakkan prinsip hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

Semua matlamat yang dinyatakan di dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 jelas tidak dipatuhi Israel semenjak penubuhan negara mereka lebih 70 tahun lalu. Oleh yang demikian, sewajarnya Israel disingkir terus daripada PBB. Perkara 6 Piagam PBB 1945 terbabit turut menyatakan dengan jelas "Ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan." 

Walaupun cadangan penyingkiran Israel daripada PBB ini sukar dilaksanakan terutama tanpa sokongan sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat Israel seperti Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Donald Trump namun langkah atau usaha yang patut diambil ini sekurang-kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada Israel dan sekutunya bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan duduk diam dan hanya melihat segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin.

Pada masa sama langkah penyingkiran Israel daripada PBB ini juga dapat memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin daripada kalangan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan mereka. 

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan  Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:30 AM