Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin Yassin.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perikatan Nasional mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan keji oleh tentera zionis Israel yang beberapa kali menceroboh perkarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah awam Palestin di Masjid Al-Aqsa sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tentera zionis Israel yang terus dilakukan ini adalah perbuatan keji dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi kerana dilakukan pada bulan Ramadan.

Menurutnya, perbuatan biadab rejim zionis itu juga dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L 32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

"Justeru, kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran PBB ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin.

"Serangan keterlaluan dan provokatif ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, laporan media menyatakan bahawa keganasan yang sama berlaku pada bulan Ramadan pada 2021 dan 2022.

"Peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

"Ketegangan antara Israel dan Palestin mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini. Adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima.

"Sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 9:48 AM