Rosli Ilham


Chukai: Tiga sekeluarga maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabur berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2.05 petang membabitkan kenderaan jenis Naza Citra dengan lori.

Menurutnya, setakat ini kesemua identiti mangsa yang maut masih belum diperolehi.

"Mereka yang maut iaitu, pemandu MPV terbabit yang tersepit di tempat duduk manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang kenderaan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman.

"Ketika kejadian, lori terbabit dalam perjalanan dari arah Mak Lagam menghala ke Ladang Perwira Cheneh sementara MPV terbabit menghala dari Mak Chili menghala ke Cheneh," katanya.

Hanyan berkata, kemalangan dipercayai berlaku, apabila lori terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan MPV terbabit sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.

Hanyan berkata, pemandu MPV yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota Bomba yang terpaksa dipanggil ke tempat kejadian.

"Tiga penumpang belakang yang cedera berjaya dikeluarkan orang awam sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman.

"Bagaimanapun dua daripada tiga penumpang MPV itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikuti Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu lori terbabit ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan akan dibawa ke Mahkamah Kemaman esok untuk mendapat perintah tahanan reman,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 6:32 PM
Mayat mangsa yang berjaya dibawa keluar dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO Rosli Ilham
Mayat mangsa yang berjaya dibawa keluar dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. FOTO Rosli Ilham