KEADAAN kedua-dua kereta jenis Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur yang mengorbankan enam nyawa. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kedua-dua kereta jenis Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur yang mengorbankan enam nyawa. FOTO ihsan bomba
Rosli Ilham


Kemaman: Jenazah enam mangsa kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh petang semalam, dituntut keluarga masing-masing pagi ini.

Kesemua jenazah yang selesai dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Kemaman diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian jam 8.30 pagi tadi.

Jenazah Abdul Halim Ismail, 71, bersama cucunya, Alisha Mardiah Muhammad Ubaidillah Zikri, 2, dibawa pulang ke kampung mereka di Batu Rakit untuk dikebumikan.

Penumpang sebuah lagi kereta iaitu, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23, dan Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 3, dipercayai anak Nor Nadia akan dikebumikan di Felda Keratong 1, Pahang.

Dua lagi yang maut di dalam kenderaan sama iaitu, Tuan Yah Tuan Dollah, 61, dan Rosliza Mat Hussin, 38, akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jabi, Setiu, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, penumpang Proton Persona dinaiki keluarga Abdul Halim terdiri daripada Muhammad Ubaidilah Zikri Adnan, 30, Nurul Fatihah Azman, 28, dan Zaiton Mohamad cedera dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.

"Mangsa lain yang cedera ialah pemandu, Shah Rezzal Zanzalani, 27, Wan Muhamad Adam Wan Muhamad Khalil, 11, Nur Syafana Nasha Saiful Azwan, 2, dan Wan Alya Farhana Wan Mohamad Khalil, 15, turut menerima rawatan di hospital yang sama," katanya.

Hanyan berkata, sebelum kejadian, Proton Persona pertama yang dinaiki lapan individu itu dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menghala ke Bandar baru Cheneh, Kemaman.

"Proton Persona kedua pula yang dinaiki lima individu dalam perjalanan dari Perasing dekat Jabor menuju ke Batu Rakit, Kuala Nerus," katanya.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta terbabit dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta yang arah bertentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 11:10 AM