PERSEKITARAN sihat penting untuk tumbesaran kanak-kanak.
PERSEKITARAN sihat penting untuk tumbesaran kanak-kanak.
PENCEMARAN air menyebabkan kematian 1.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia.
PENCEMARAN air menyebabkan kematian 1.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia.
PEMAKAIAN topeng muka penting terutama apabila jerebu.
PEMAKAIAN topeng muka penting terutama apabila jerebu.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Persekitaran sempurna amat penting untuk perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak. Pencemaran alam bukan saja merencatkan tumbesaran malah mendatangkan bahaya dan impak negatif terhadap perkembangan mereka.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Pantai Hospital Klang Dr Shariza Lukman, pencemaran udara dan air antara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa untuk mengelakkan kesihatan anak mereka terjejas.

Katanya, langkah pencegahan boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam menangani pencemaran sekali gus mengurangkan risiko terhadap kesihatan anak mereka terutama bayi dan kanak-kanak.

Pencemaran Udara

Pencemaran udara berlaku apabila persekitaran dicemari oleh bahan kimia, agen fizikal atau biologi yang mengubah ciri semula jadi atmosfera. Aktiviti harian di rumah (penggunaan tenaga untuk mesin, dapur dan perkakas elektrik), kenderaan bermotor, aktiviti pembangunan dan perindustrian serta pembakaran hutan terbuka adalah sumber biasa pencemaran udara.

Antara agen pencemar udara yang terbabit ialah karbon monoksida, ozon, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida. Kedua-dua pencemaran luar dan dalam rumah akan menyebabkan masalah pernafasan serta penyakit lain yang boleh membawa maut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pencemaran udara dikaitkan dengan radang paru-paru dan penyakit pernafasan, yang menyumbang satu dalam 10 kematian kanak-kanak berumur kurang lima tahun, menjadikan pencemaran udara berbahaya kepada kesihatan mereka.

Menurut Dr Shariza, kanak-kanak lebih terjejas daripada orang dewasa kerana paru-paru, otak dan sistem imun mereka masih kurang matang dan saluran pernafasan lebih sensitif.

Katanya, agen pencemar udara bukan saja membahayakan paru-paru kanak-kanak tetapi boleh melalui lapisan otak dan merosakkan perkembangan otak mereka.

“Banyak kajian menunjukkan hubungan antara pencemaran udara dan kesihatan pernafasan dalam kalangan kanak-kanak, terutama jika kanak-kanak mengidap asma.

“Pendedahan kepada bahan pencemar akan meningkatkan jumlah serangan asma mengakibatkan lawatan ke doktor lebih kerap dan keperluan lebih besar untuk perubatan.

“Fungsi paru-paru kanak-kanak akan berkurangan setiap kali ia tercemar dengan paras ozon yang tinggi dan zarah sulfat,” katanya.

Selain itu katanya, penyelidikan juga mengaitkan pendedahan terhadap pencemaran udara semasa mengandung boleh menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang, kecacatan jantung kongenital dan berat lahir yang rendah dan perkembangan penyakit kronik tertentu, terutama membabitkan sistem pernafasan.

Pencemaran udara disebabkan oleh lalu lintas boleh juga menyebabkan kecenderungan alahan seperti penyakit ekzema dan alahan rinitis.

Pada 2013, WHO menyimpulkan pencemaran udara luar karsinogenik kepada manusia.

Rawatan

Kebanyakan masalah pernafasan yang berkaitan dengan pencemaran udara seperti asma dan radang paru-paru boleh dirawat.

Tetapi penyakit asma dan alahan (ekzema dan alahan rinitis) adalah penyakit kronik dan perlukan rawatan rapi daripada pakar sekiranya ingin penyakit dikawal.

Kebanyakan masalah kongenital masih boleh dirawat dengan sewajarnya oleh pakar kanak-kanak tetapi mereka perlu menghadiri rawatan susulan yang ditetapkan.

Cara mengurangkan pendedahan pencemaran udara:

- Pencemaran udara dalaman boleh dikurangkan dengan memastikan rumah mempunyai pengaliran udara yang baik dan kerap dibersihkan untuk mengelakkan pengumpulan ejen seperti hama ruma, debu dan kulat.

- Ibu bapa harus berhenti merokok atau menjauhkan anak-anak daripada persekitaran merokok, berhati-hati dengan penggunaan dan penyimpanan bahan kimia (racun perosak, pembersih dan pembasmi kuman) manakala pengudaraan yang baik dan selamat boleh memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang bersih dan sihat.

- Ibu bapa perlu peka dengan kualiti indeks pencemaran udara (IPU). Apabila IPU di luar tinggi, anak mestilah dipantau di rumah dengan menggunakan pendingin hawa dan mengelakkan aktiviti di luar rumah.

- Mengelakkan penggunaan kenderaan bermotor dan menggunakan pengangkutan awam, berbasikal ataupun berjalan kaki.

- Menggalakkan penyusuan ibu kepada bayi kerana kajian menunjukkan kesan negatif pencemar tertentu contohnya nitrik oksida akan hilang pada bayi yang menyusui susu ibu pada empat bulan pertama kelahiran. Susu ibu mempunyai ejen pelindung pencemar atmosfera.

Pencemaran air

Pengambilan air minuman yang tercemar boleh mengakibatkan penyakit yang merbahaya dan juga kematian. Sistem pertahanan badan kanak-kanak yang tidak matang, tidak dapat menerima kesan dehidrasi disebabkan oleh demam, pengambilan makanan terdedah dan penyakit cirit-birit.

Kanak-kanak kurang daripada usia lima tahun lebih terdedah kepada kesan merbahaya daripada air yang tercemar, sanitasi dan amalan kebersihan yang salah (contohnya cara membasuh tangan).

Kira-kira 80 peratus kes cirit-birit di seluruh dunia disebabkan oleh air yang tidak selamat, sanitasi atau kebersihan yang tidak mencukupi. Kes ini menyebabkan sehingga 1.5 juta kematian kanak-kanak (di bawah umur lima tahun) setiap tahun seperti laporan WHO.

Di Malaysia, semua air yang dibekalkan oleh SYABAS perlu mematuhi standard yang ditetapkan dalam standard Kebangsaan bagi Kualiti Air Minuman yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan disesuaikan daripada WHO.

Air yang dirawat dari SYABAS adalah selamat dan bersih untuk minum terus dari paip. Bagaimanapun, pengguna perlu kerap memeriksa paip dalaman rumah mereka dan membersihkan tangki air jika perlu.

Pengendalian tempat penyimpanan air di rumah yang efektif dan bersih, untuk mengekalkan kualiti air bersih.

Peningkatan dalam kualiti air minuman melalui rawatan air di rumah seperti merebus, penapisan, pembasmian kuman solar, pengklorinan pada titik penggunaan dan penyimpanan domestik selamat boleh membawa kepada pengurangan penyakit cirit-birit sebanyak 39 peratus.

Cara mengurangkan pendedahan pencemaran air

Kehadiran paip besi bergalvani dalam sistem paip rumah dan tangki simpanan logam boleh menyebabkan air menjadi kuning atau coklat.

Jadi pengguna bertanggungjawab memeriksa dan mengekalkan kerja memasang paip dan tangki simpanan air mereka. Mereka juga dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat tukang paip berlesen yang berdaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 3:12 AM