FOTO fail menunjukkan sisa pelepasan dari cerobong sebuah janakuasa arang batu di Niederaussem, barat Jerman. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan sisa pelepasan dari cerobong sebuah janakuasa arang batu di Niederaussem, barat Jerman. FOTO AFP
BERNAMA

Copenhagen: Pencemaran udara di Eropah menyebabkan kematian lebih 1,200 orang yang berumur di bawah 18 tahun pada setiap tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA).

"Kanak-kanak sangat mudah terdedah kepada pencemaran udara... sejak daripada dalam kandungan sehinggalah mereka mencapai usia dewasa," menurut agensi yang berpangkalan di Copenhagen itu.

Pencemaran udara menyebabkan kanak-kanak berisiko tinggi dijangkiti penyakit kronik.

Justeru itu, pencemaran perlu ditangani bermula daripada akar umbinya dengan mengurangkan pelepasan yang dihasilkan oleh pengangkutan, industri dan pemanasan, menurut pakar EEA.

Satu langkah yang dilihat paling praktikal ialah dengan meningkatkan kualiti udara di sekitar sekolah dan tadika, contohnya mewujudkan lebih banyak ruang hijau.

Walaupun terdapat peningkatan dalam usaha menangani pencemaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, paras bahan pencemar utama di kebanyakan negara Eropah masih melebihi had yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Masalah sering berlaku terutamanya di kawasan bandar. Pada 2021, lebih 90 peratus penduduk bandar di negara Kesatuan Eropah terpaksa hidup dengan paras zarah halus (PM2.5), ozon (O3) dan nitrogen dioksida (NO2) yang melebihi saranan WHO, menurut EEA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 11:00 AM