Pencemaran Kuala Sungai Pinang, di sini, menjejaskan pendapatan kira-kira 300 nelayan berhampiran. FOTO Ihsan CAP
Pencemaran Kuala Sungai Pinang, di sini, menjejaskan pendapatan kira-kira 300 nelayan berhampiran. FOTO Ihsan CAP
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perikanan menyiasat punca serta mengambil tindakan bagi menangani pencemaran sungai di Kuala Sungai Pinang di sini.

Ia berikutan tiada tindakan berkesan diambil walaupun nelayan sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkaitan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, masalah yang berlaku sejak lebih 20 tahun lalu itu dipercayai berpunca daripada aktiviti ternakan udang yang memusnahkan beratus hektar hutan bakau di kawasan berkenaan.

Pihaknya difahamkan bahawa masalah itu memberi kesan dan menjejaskan pendapatan kira-kira 300 nelayan di kawasan terbabit.

"Sisa kolam dibuang ke dalam saliran, sungai serta laut berhampiran menyebabkan nelayan bimbang sumber pendapatan mereka merosot teruk akibat pencemaran yang berlaku di kawasan itu ketika ini.

"Sebelum ini, mereka memperoleh pendapatan mencecah RM200 sehari tetapi sekarang hanya tinggal RM30 hingga RM70 sahaja sehari," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohideen berkata, tempat hidupan laut membiak sudah terancam, manakala ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan di situ juga semakin pupus.

Katanya, selain mencemarkan, ia menyebabkan saliran di kawasan itu menjadi cetek akibat mendapan sisa dan bahan terbabit.

"CAP kesal dengan sikap pihak berwajib kerana tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap ancaman pencemaran yang berlaku serta membiarkan sumber perikanan dan nelayan di sini terus menjadi mangsa.

"Jika masalah ini tidak ditangani dengan berkesan, alam sekitar di kawasan itu akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah nelayan yang bergantung hidup kepada hasil sungai dan laut akan putus mata pencarian," katanya.

CAP turut membantah keras jika terdapat rancangan baharu oleh mana-mana pihak bagi meneroka hutan paya bakau di kawasan ini untuk melaksanakan projek ternakan udang.

"Ia boleh mencetuskan ancaman lebih buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 4:21 PM