SEBAHAGIAN daripada 20 individu direman di Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan insiden pergaduhan penyokong dua pasukan bola sepak, baru-baru ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
SEBAHAGIAN daripada 20 individu direman di Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan insiden pergaduhan penyokong dua pasukan bola sepak, baru-baru ini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka berhubung insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan bola sepak di sebuah stesen minyak selepas perlawanan akhir Liga Super, bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan adalah mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 427 Kanun Keseksaan berikutan khianat dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

"Sehingga kini sudah 34 individu ditahan dan direman bagi membantu siasatan yang mana tangkapan terakhir pada 28 Ogos lalu membabitkan tiga lelaki yang sudah diberi jaminan oleh pihak polis.

"Kes masih dalam siasatan polis, dan orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden bagi mengelak sebarang spekulasi," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan insiden yang berlaku di perkarangan stesen minyak pada jam 11.20 malam, 22 Ogos lalu, berpunca daripada provokasi selepas perlawanan bola sepak Liga Super antara Pulau Pinang dan Kedah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-19078888 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 8:06 PM