SEBAHAGIAN daripada 20 individu direman di Mahkamah Majistret Georgetown di sini, bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan bola sepak. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
SEBAHAGIAN daripada 20 individu direman di Mahkamah Majistret Georgetown di sini, bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan bola sepak. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seramai 20 lagi individu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan bola sepak di sebuah stesen minyak selepas perlawanan akhir Liga Super pada Selasa lalu.

Kesemua lelaki berusia 18 hingga 38 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 26 Ogos itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di Mahkamah Majistret Georgetown kira-kira jam 9 pagi dalam keadaan tangan bergari.

Difahamkan, kesemua suspek itu ditahan secara berasingan di sekitar negeri ini.

Penahanan dilakukan susulan daripada tangkapan pertama semalam, membabitkan tujuh lelaki di stesen minyak berkenaan.

Semalam, Harian Metro melaporkan seramai tujuh lelaki termasuk dua mengalami cedera di kepala, ditahan polis susulan pergaduhan itu.

Kejadian berlaku di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 500 meter dari Stadium Bandaraya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pergaduhan itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium selepas tamat perlawanan bola sepak antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Polis turut merampas dua biji batu dan kon keselamatan serta sebatang kayu yang dipercayai diguna ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 12:32 PM