TANGKAP layar video tular pergaduhan antara penyokong Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC. FOTO Tular
TANGKAP layar video tular pergaduhan antara penyokong Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC. FOTO Tular
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tujuh lelaki antara yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan bola sepak tempatan, di sini, semalam.

Dua daripada yang ditahan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu ketika pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 38 tahun berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif daripada pengambilan bahan terlarang dan tiada rekod lampau.

"Mereka ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan berikutan merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Soffian berkata, kejadian 11.20 malam itu berlaku berhampiran sebuah stesen minyak, di sini.

Katanya, kejadian itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium selepas tamat perlawanan bola sepak.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut ke lokasi bagi mengawal keadaan sebaik menerima maklumat dan menahan tujuh lelaki terbabit.

"Turut dirampas ialah masing-masing dua biji batu dan kon keselamatan serta sebatang kayu yang diguna ketika kejadian," katanya.

Menurut Soffian, dalam kejadian itu cermin pintu bas yang membawa penyokong pasukan Kedah turut pecah akibat ditumbuk seorang suspek.

"Orang awam dinasihati supaya tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden bagi mengelak sebarang spekulasi," katanya.

Berita berkaitan:

  • FAM kecewa penyokong Penang FC, Kedah bertempur
  • Penyokong bergaduh selepas perlawanan Penang FC-KDA FC
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 2:10 PM