Peta terkini China edisi 2023 menunjukkan tuntutannya terhadap sebahagian besar perairan Laut China Selatan dan beberapa wilayah di India. - Foto AGENSI
Peta terkini China edisi 2023 menunjukkan tuntutannya terhadap sebahagian besar perairan Laut China Selatan dan beberapa wilayah di India. - Foto AGENSI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: ASEAN digesa untuk menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam 'Peta Standard China Edisi 2023'.

Pakar pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, nota bantahan itu bukan hanya setiap negara menghantarnya, tetapi pada masa sama ASEAN juga perlu dilibatkan.

"Singapura hantar, Indonesia hantar, Malaysia hantar secara berasingan, tetapi pada masa sama, hantar juga untuk pihak ASEAN. Kita kena tunjuk bahawa ASEAN ini satu gabungan negara yang mahu mengekalkan sikap berkecuali.

"Sikap berkecuali itu kita kena jaga. ASEAN ditubuhkan untuk menjadikan rantau ini aman dan berkecuali.

"Disebabkan itu, kita tidak boleh meminta bantuan daripada Amerika Syarikat (iaitu) jalan pintas dengan cuba menyaingi kekuatan China," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kementerian Sumber Asli China dilapor mengeluarkan 'Peta Standard China Edisi 2023' yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kemudian dilaporkan berkata, kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam 'Peta Standard China Edisi 2023', yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.

Muhammad Fuad berkata, dengan tindakan ASEAN yang turut menghantar nota bantahan, China akan lebih berhati-hati dalam tindakannya kerana negara itu berhadapan dengan sebuah blok.

"Dia (China) bukan menghadapi sesebuah negara. Kalau sesebuah negara, dia boleh membuat tekanan (terhadap negara itu). Tetapi kalau 'en bloc' ini sukar untuk nak buat tekanan," katanya.

Beliau turut memberi gambaran sekiranya ada konflik bersenjata, negara seperti China akan menghadapi sebuah blok.

"Kalau berlaku konflik bersenjata, mereka terpaksa menghadapi 'en bloc' juga. Walaupun ASEAN itu bukan satu pakatan ketenteraan, tetapi kalau diperlukan mekanisme itu sudah ada.

"Saluran diplomatik telah begitu lama wujud. Tapi boleh juga diolah supaya ia menjadi blok ketenteraan apabila terdapat ancaman yang amat kritikal daripada luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 5:11 PM