PETA terkini China edisi 2023 menunjukkan tuntutannya terhadap sebahagian besar perairan Laut China Selatan dan beberapa wilayah di India. Foto Agensi
PETA terkini China edisi 2023 menunjukkan tuntutannya terhadap sebahagian besar perairan Laut China Selatan dan beberapa wilayah di India. Foto Agensi
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Peta Standard China 2023 yang turut merangkumi kawasan maritim Malaysia menunjukkan niat sebenar negara republik berkenaan terhadap perancangan mereka untuk 'menguasai' beberapa kawasan strategik yang selama ini sering diceroboh negara terbabit.

Pada masa sama, negara kuasa besar itu juga tidak mempunyai asas mengikut perundangan antarabangsa untuk meletakkan kawasan Malaysia antaranya perairan Sabah dan Sarawak dalam daerah kekuasaannya.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, tindakan negara itu boleh disifatkan sebagai agak melampau kerana ia mampu mengundang konflik antara China serta Malaysia.

"Seperti yang kita tahu, China sememangnya mengiktiraf kawasan 'Sembilan garis putus' atau Nine Line Dash yang menandakan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

"Kawasan itu bukan saja bertindih dengan perairan negara tetapi turut bertindih dengan Vietnam serta Filipina. Berasaskan kepada perundangan maritim yang diguna pakai di peringkat antarabangsa iaitu Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) ini, China tidak mempunyai asas perundangan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Mizan berkata, tindakan China menyiarkan peta baharu edisi 2023 itu sememangnya sudah dijangka untuk meningkatkan lagi ketegangan dalam isu perebutan perairan berkenaan.

"Apa yang boleh dilakukan oleh negara adalah menghantar nota bantahan menerusi kedutaan China di negara ini, namun saya amat yakin bahawa ia tidak akan mengubah sebarang bentuk pendirian China.

"Pada masa sama, Malaysia juga perlu menggunakan kebijaksanaan menerusi hubungan diplomatik iaitu menjalinkan usaha sama dengan negara besar yang lain seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mengimbangi pengaruh China di rantau ini.

"Malaysia kena meneruskan bantahan pada kapasiti yang kita mampu mengenai kes ini sehingga ke peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kita boleh buktikan bahawa kita tidak bersetuju dengan tindakan China, malah menggunakan setiap saluran untuk mengimbangi pengaruh kuasa besar di negara ini," katanya.

Semalam, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam 'Peta Standard China Edisi 2023', yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Peta Standard China Edisi 2023 itu yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, sama sekali tidak mengikat Malaysia.

Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 3:20 PM