Penjaga Pasar Mini Kami, Taman Jaya Cheras menunjukkan kotak kosong yang menempatkan minyak masak paket yang kehabisan stok. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Penjaga Pasar Mini Kami, Taman Jaya Cheras menunjukkan kotak kosong yang menempatkan minyak masak paket yang kehabisan stok. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Peniaga dan pengguna minyak masak paket satu kilogram (kg) mendakwa, bekalan bahan itu terhad dan sukar diperoleh di pasaran.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai di ibu negara mendapati rak menempatkan minyak masak paket kosong atau kuantitinya tidak banyak berbanding minyak masak botol yang mudah didapati.

Pembantu kedai runcit di Cheras, Yati Sarji, 37, berkata, kekurangan stok bekalan itu amat dirasai apabila pihaknya tidak menerima lagi minyak masak paket sejak tahun lalu.

"Memang sudah lama kami tak dapat bekalan daripada pembekal yang datang cuma minyak masak botol satu dan dua kg saja itupun tak banyak.

"Setiap hari ramai pembeli terutama peniaga di kawasan sini mengeluh kerana susah dapat minyak masak paket.

"Tapi kami tiada pilihan ini saja yang ada, jadi mahu tak mahu pembeli terpaksa juga beli minyak botol yang lebih mahal berbanding paket," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, pengurus sebuah kedai runcit di Sentul, Zahi Mohamed berkata, mereka mengehadkan seorang pelanggan hanya boleh membeli dua paket minyak masak saja bekalan diperoleh terhad.

"Boleh dikatakan setiap bulan kami hanya dapat daripada pembekal lima karton minyak masak paket iaitu bersamaan dengan 60 paket saja.

"Jadi kami hadkan seorang pembeli hanya boleh beli dua paket saja itupun sekejap saja dalam seminggu dua bekalan itu licin.

"Memang pembeli datang kedai akan cari dulu minyak paket sebab murah tapi kalau stok habis, mereka terpaksa juga beli yang botol dengan harganya RM6.90 untuk satu kg," katanya.

Bagi pengguna, Ani Omar berkata, kekurangan bekalan minyak paket di pasaran berlarutan sejak tahun lalu.

"Nasiblah kadang ada, kadang tak ada nak kena rajin cari di banyak kedai dan biasanya kalau adapun terhad apabila setiap pembeli boleh beli tiga paket saja atau kurang daripada itu.

"Macam minggu lalu pun susah juga nak dapat sebab banyak kedai habis stok jadi mahu tak mahu terpaksa juga beli minyak botol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:40 PM