MINYAK masak paket. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MINYAK masak paket. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kekurangan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) di sekitar ibu kota menyebabkan penduduk terbeban terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit di sekitar ibu kota, hari ini, mendapati minyak masak paket laris dijual dan pembeliannya terpaksa dihadkan antara satu hingga tiga paket seorang.

Bagaimanapun, minyak masak botol masih memenuhi ruangan di rak jualan.

Pekerja kedai runcit dikenali sebagai Dina, 21, berkata, pelanggan lebih memilih untuk membeli minyak masak paket berharga RM2.50 sekilogram berbanding minyak botol kerana mahu berjimat.

Menurutnya, setiap hari majikannya akan mengambil bekalan sendiri dan hanya mendapat dua atau tiga kotak yang sekotak mempunyai 17 paket minyak masak.

"Memang ramai datang mencari minyak paket dan sebab itu kami mengehadkan seorang hanya boleh membeli sepeket saja kerana mahu adil dengan semua pelanggan. Lagipun di sini ramai penduduk.

"Minyak masak paket memang setiap hari akan habis dijual. Kadang-kadang dalam 11 pagi atau petang sudah habis, menyebabkan kami terpaksa keluar lagi mencari bekalan.

"Bila minyak paket sudah habis saya tawarkan minyak botol tapi kebanyakan pelanggan tidak mahu kerana harganya mahal berbanding minyak paket," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Nur Azrin Ramli, 34, berkata, dia dan suami terpaksa mencari bekalan minyak masak di dua kedai supaya dapat membeli lebih dari dua paket untuk kegunaan harian.

"Kedai runcit di kawasan rumah saya memang selalu tiada bekalan minyak masak dan ada kedai yang hanya membenarkan pembeli membeli sepaket atau dua paket minyak masak saja, malah ada juga yang kita perlu tanya di kaunter barulah mereka akan bagi minyak itu.

"Kami memang guna minyak paket saja kerana harga minyak botol mahal sangat dan dalam situasi ketika ini dengan harga barang mahal kami terpaksa berjimat cermat untuk berbelanja," katanya.

Bagi, peniaga nasi lemak, Shanti, 40, dia mengakui sukar mencari bekalan minyak masak terutama menjelang petang dan dia yang memerlukan 10 paket minyak masak sehari terpaksa membeli di beberapa kedai berasingan.

"Memang susah nak cari minyak masak paket sampai terpaksa pergi banyak kedai tetapi ada juga yang tiada stok yang tinggal hanya minyak masak botol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:29 PM