PENGUNJUNG beratur bagi mendapatkan bekalan minyak masak paket pada Jualan Keluarga Malaysia. FOTO Nuraliawati Sabri
PENGUNJUNG beratur bagi mendapatkan bekalan minyak masak paket pada Jualan Keluarga Malaysia. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Bagaikan pisang goreng panas, apabila gerai jualan minyak masak paket di Jualan Keluarga Malaysia di tapak pasar malam Durian Tunggal, di sini, semalam diserbu pengunjung untuk mendapatkan bekalan.

Walaupun hanya terhad dua paket untuk setiap seorang namun pengunjung tetap berpuas hati dan sabar beratur kerana dikatakan bekalan minyak masak paket sukar mereka peroleh di premis berdekatan.

Tinjauan mendapati gerai jualan minyak paket tidak henti dari dikunjungi selain menjadi lokasi utama di singgah pengunjung.

Bagi pengunjung Norliza Mohd Isa, 38, berkata, minyak masak paket bersubsidi sukar untuk diperoleh di kedai runcit dan tidak sangka ada dijual di Jualan Keluarga Malaysia.

"Seakan langkah kanan apabila datang ke sini saya dan suami dapati ada minyak paket dijual, walaupun terhad hanya dua paket setiap orang ia sudah berbaloi malah harganya jualan pun cuma RM2.50 sekilogram.

"Ternyata program ini bukan hanya menawarkan harga jualan yang murah tetapi ada juga menjual minyak masak jadi ia memudahkan pengunjung kerana boleh dapati semua di satu tempat," katanya.

Bagi seorang lagi pengunjung, Abu Chik, 69, berkata, minyak masak paket sentiasa dicarinya kerana harganya yang lebih rendah berbanding minyak masak botol.

"Kami memang menggunakan minyak masak yang banyak kerana isteri memasak dalam kuantiti banyak untuk keluarga. Tidak sangka pula ada dijual di sini, hari ini (semalam), kerana sekarang ini susah mahu dapat bekalan di kedai," katanya.

Program itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Pembangunan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) Melaka Norena Jaafar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.

Sementara Norena berkata, penjualan minyak masak paket bersubsidi pada program itu diberikan kelonggaran khas untuk memudahkan pengunjung mendapatkan bekalan.

"Sepatutnya pemborong atau 'repackers' tidak boleh menjual secara terus kepada pengguna namun untuk Program Jualan Keluarga Malaysia ini kita bagi kelonggaran khas untuk jualan terus kepada pengunjung.

"Memang dihadkan dua paket kerana kalau tiada had orang akan beli dalam kuantiti yang banyak, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan stok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 1:07 PM