PELANGGAN hanya dibenarkan membeli tiga paket minyak masak. FOTO OWEE AH CHUN.
PELANGGAN hanya dibenarkan membeli tiga paket minyak masak. FOTO OWEE AH CHUN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Terpaksa mendapatkan bekalan minyak masak paket dari beberapa kedai berlainan.

Itu kesukaran dialami pengguna terutama pengusaha makanan kecil-kecilan apabila kebanyakan kedai kini kekurangan stok bekalan minyak masak paket.

Peniaga gerai pisang goreng dan kuih muih, Yani Suhariya, 48, berkata, minyak masak paket menjadi pilihan mereka kerana lebih murah berbanding botol, namun bekalan itu kini umpama barangan berharga kerana sukar diperoleh.

"Biasanya kami beli secara borong dapat tiga atau empat kotak, tetapi sekarang pembelian dihadkan kepada satu atau dua kotak sahaja.

"Ia membuatkan kami perlu membeli di beberapa kedai bagi menampung kegunaan harian kerana memerlukan banyak minyak untuk menggoreng kuih dan pisang goreng," katanya.

Suri rumah, Sarizan Ahmad, 65, mengakui sukar mendapatkan bekalan itu sejak dua minggu lalu.

"Saya terpaksa mendapatkan bekalan minyak masak paket di kedai berlainan bagi kegunaan harian termasuk mengambil tempahan karipap secara kecil-kecilan.

"Biasanya saya akan beli di kedai berdekatan rumah, tetapi ada sesetengah kedai sudah tiada stok sejak sebulan lalu.

"Kadang-kadang saya kirim dengan anak atau kalau nampak ada sahaja minyak masak paket saya terus beli," katanya.

Sementara itu, pembantu pasar raya mini, Zulhilmi Izani, 29, berkata, bekalan minyak masak paket laris macam goreng pisang menyebabkan mereka terputus stok bekalan.

"Minyak masak paket lebih laris berbanding minyak botol kerana harganya RM2.50 sepaket yang mampu milik.

"Paling kurang kami dapat 12 kotak dari pembekal itupun cepat habis dalam tempoh sehari sahaja walaupun setiap pelanggan dihadkan kepada tiga paket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 3:41 PM