Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah haji dari golongan B40 yang dipilih menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu menjadi antara Manifesto Perpaduan Pulau Pinang yang dibentangkan malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Perpaduan negeri, Zairil Khir Johari yang membuat pembentangan itu memaklumkan secara keseluruhannya terdapat 50 manifesto yang merangkumi 16 tema utama.

Antara yang menjadi penekanan adalah menyalurkan bantuan 'one off' RM1,000 kepada setiap jemaah haji golongan B40 dibawah tema 'Syiar Islam Terus Dipertahankan Berteraskan Kerangka Malaysia Madani'

Dalam pada itu, dibawah tema 'Cakna Kebajikan Rakyat' pula pasangan yang mendirikan rumahtangga akan mendapat bantuan 'one off' RM500 dibawah Program Mempelai Emas.

Kedua-dua manifesto itu antara intipati terbaharu yang diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

"Apa yang pasti, kita ingin membuktikan bahawa kita tidak pernah mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat Pulau Pinang kepada kita.

"Kita sedar dan yakin bahawa ikatan perpaduan ini bakal memberi segala kebaikan kepada rakyat Pulau Pinang menerusi manifesto yang bertunjangkan 16 tema utama ini," katanya.

Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) bersama Lim Guan Eng (dua dari kiri), Datuk Musa Sheikh Fadzir (tiga dari kanan), Datuk Dr Roslan Ahmad (dua dari kanan) dan Datuk Law Choo Kiang (kanan) melakukan gimik Pelancaran Manifesto Perpaduan dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Butterworth Arena, Taman Ampang Jajar, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) bersama Lim Guan Eng (dua dari kiri), Datuk Musa Sheikh Fadzir (tiga dari kanan), Datuk Dr Roslan Ahmad (dua dari kanan) dan Datuk Law Choo Kiang (kanan) melakukan gimik Pelancaran Manifesto Perpaduan dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan di Butterworth Arena, Taman Ampang Jajar, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan negeri, di Pusat Konvensyen PICCA Butterworth Arena, di sini, malam ini.

Jelasnya, 16 tunjang utama dalam manifesto yang diperkenalkan itu adalah beliau mahu terus memperjuangkan nasib rakyat sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir sekali lagi Pulau Pinang.

"Kita ingin beritahu bahawa kita sentiasa memikul amanah yang diberikan, memastikan bahawa tiada pihak yang terpinggir atau dipinggirkan, prinsip negeri berkebajikan yang sentiasa menjadi pegangan dan pastinya kita membangun bersama-sama dalam percambahan sosioekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

"Manifesto Perpaduan 2023 Pulau Pinang adalah sebuah mandat baru yang bukan hanya menyediakan negeri ini ke arah lonjakan kedua ekonomi baru sejajar dengan landasan ekonomi madani yang menyasarkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara bercambah sebanyak enam peratus, malah ia juga terus menyediakan serta mempelbagaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira usia, latar belakang dan juga organisasi," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 1:05 AM