Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Manifesto yang dibentangkan parti Perikatan Nasional (PN), semalam, adalah program yang sudah dilaksana kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Katanya, manifesto itu juga merangkumi banyak janji yang sebenarnya mampu dilakukan kerana ia sudah dibuat oleh kerajaan negeri selama tiga penggal.

"Cabarannya ialah bagi mempertingkatkan keberkesanan dan menambah baik kebajikan menerusi program intensif yang ditawarkan.

"Perbezaan kita dengan parti lawan ialah kita mempunyai rekod baik dalam menunaikan kewajipan sejak 15 tahun lalu," katanya kepada media, hari ini.

Katanya, sehingga akhir penggal, mereka sudah melaksanakan 94 perkara berbanding 68 perkara yang dijanjikan di bawah manifesto pada 2018.

"Inilah rekod, inilah prestasi kita," katanya ketika ditemui bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail bagi sesi 'walkabout' di Pasar Awam Balik Pulau, di sini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengisytiharkan 12 Ogos sebagai cutiu mum.

"Saya percaya rakyat sudah biasa dengan pilihan raya tambahan pula ramai yang cuti pada hari Sabtu.

"Bagi yang bekerja pada hari mengundi, diharap semua majikan perlu beri ruang dan masa kepada pekerja tunaikan kewajipan mengundi," katanya lagi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Ketua Menteri Chow Kon Yeow. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 11:20 AM