Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, menepis dakwaan menggunakan kabel untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, proses pemilihan calon adalah telus dan keputusan muktamad dilakukan hasil perbincangan sebulat suara oleh Majlis Presiden PN.

"Mana ada kabel... proses memilih calon itu adalah satu proses yang kita katakan telus dengan negeri akan beri cadangan kerusi, calon untuk tanding peringkat negeri.

"Peringkat negeri hanya boleh bagi cadangan dan pusat akan buat keputusan muktamad menerusi Majlis Presiden PN," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Akuan Bersumpah (SD) Calon Gerakan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan ringkas mengesahkan Majlis Presiden gabungan itu bersetuju meletakkan Lau sebagai calon kerusi Dun Bayan Lepas.

Lau menjelaskan, namanya tidak diumumkan sebagai calon di Bayan Lepas oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee malam tadi kerana mengikut protokol jawatannya dalam PN dan namanya akan diumumkan Hamzah selaku Setiausaha Agung PN.

DOMINIC Lau. FOTO arkib NSTP
DOMINIC Lau. FOTO arkib NSTP

Ditanya mengenai namanya dalam senarai bertanding di Dun Machang Bubuk, katanya, beliau tidak menerima senarai lain selain daripada senarai yang menunjukkan beliau bertanding di Bayan Lepas.

Berhubung bantahan diterima daripada Pas susulan pencalonannya, Lau berkata, ia adalah isu komunikasi dalaman PN dan akan diselesaikan secara dalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:21 PM