FAHMI (tengah) bergambar kenangan bersama wakil-wakil pemain industri kreatif pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) 2023 dan Pelancaran Tabung Komuniti Filem di kementeriannya. FOTO BERNAMA
FAHMI (tengah) bergambar kenangan bersama wakil-wakil pemain industri kreatif pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) 2023 dan Pelancaran Tabung Komuniti Filem di kementeriannya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Penerima Dana Kandungan Digital (DKD) diingatkan supaya melaksanakan projek mengikut kos, tempoh dan skop yang telah ditetapkan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

"Dana DKD adalah duit rakyat dan amanah yang diberikan perlu dilaksanakan oleh setiap penerima dengan sebaik mungkin," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Surat Tawaran DKD 2023 di sini, hari ini.

Katanya, beliau sebagai ahli Parlimen saban tahun meneliti Laporan Ketua Audit Negara yang turut menyentuh aspek DKD.

"Maka saya harap kita ambil ibrah atau pengajaran, bukan sahaja elak ia berulang tetapi realisasikan potensi yang ada untuk kita pastikan hasil karya dalam negara dinikmati rakyat dalam negara dan peringkat antarabangsa," katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Dana itu bertujuan memangkin penghasilan kandungan kreatif tempatan yang berkualiti selain berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Fahmi berkata, RM102 juta diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tahun ini untuk melaksanakan DKD menerusi Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV).

Antara kejayaan yang diraih menerusi inisiatif dana itu adalah filem 'Imaginur' yang meraih kutipan RM6 juta, 'Mat Kilau' dengan kutipan RM90 juta serta 'Tiger Stripes' yang memenangi hadiah utama 'Cannes Critic's Week', katanya.

Pada majlis hari ini, 14 syarikat ditawarkan Dana Filem Cereka dan 10 syarikat ditawarkan Dana FAME yang membabitkan jumlah keseluruhan RM18.3 juta di bawah Finas.

Bagi MyCV, 11 syarikat ditawarkan Dana Persembahan Muzik dan empat syarikat ditawarkan Dana Promosi dan Antarabangsa membabitkan RM3.3 juta.

Fahmi berkata, semua permohonan DKD dinilai secara telus dan berintegriti oleh jawatankuasa yang terdiri daripada barisan panel profesional dan mempunyai kepakaran selain wakil kementerian.

"Saya menjemput semua penggiat industri untuk melayari portal rasmi Finas, MyCV dan MDEC serta KKD untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 3:25 PM