FINAS
FINAS
BERSAMA WAN ASRUDI WAN HASAN

Isu penyelewengan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi segelintir penggiat seni yang cakna mengikuti perkembangannya bukanlah isu lapuk.

Hinggakan ada di kalangan mereka melabelkan kelompok yang mencetus 'barah' dalam industri seni ini adalah segelintir golongan kaki sakau.

Malah mereka mendakwa ia membabitkan beberapa dana bukan hanya dana industri kreatif sebaliknya licik mengaut beberapa dana lain dengan cara mudah kerana mempunyai pengaruh dan rangkaian yang kuat.

Persoalannya siapakah mastermind di sebalik isu ini? Tanpa 'orang dalam' atau kelulusan yang mudah diperoleh agak sukar jika dana terbabit jatuh di tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Jadi timbul persoalan di mana silapnya, adakah siasatan hanya dijalankan separuh jalan atau hangat-hangat tahi ayam. Adakah golongan pentadbir di agensi kreatif tidak berkelayakan atau sebaliknya.

Malah ada yang menyatakan situasi pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada kelompok industri kreatif ini sehingga mendorong kepada tindakan mengutamakan kehendak daripada keperluan asas.

Namun amaran keras daripada pihak pengurusan Finas serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pastinya perlu dipandang serius oleh mereka.

Tidak kurang juga yang mendesak campur tangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membendungnya.

Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim.
Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim.

Bayangkan dana peruntukan yang diamanahkan dan duit rakyat dibelanjakan secara semberono.

Finas baru-baru ini mendedahkan mereka bertindak menyaman 47 individu serta syarikat produksi yang gagal menerbitkan sebarang filem meskipun telah menerima dana keseluruhan berjumlah RM20 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim (gambar) dilaporkan berkata, tindakan itu diambil mengikut laporan audit membabitkan dana daripada tahun 2013 hingga 2017.

Kesemua yang terbabit adalah melibatkan dana mikro (dana kreatif dan inisiatif). Pihaknya turut menerima banyak maklum balas dan aduan yang mendakwa dana perfileman diberi disalah guna oleh pihak berkenaan.

Ada di antara penerima dikatakan membelanjakan wang untuk kepentingan peribadi seperti membeli kenderaan dan mengubah suai kediaman, namun sekadar dakwaan dan tidak disertai dengan bukti kukuh.

Md Nasir dalam temu bual bersama media baru-baru ini turut memaklumkan beberapa langkah tegas yang akan diambil selain masih melakukan pendekatan berbincang untuk menyelesaikan perkara itu.

Amaran turut diberikan kepada penerima dana kandungan digital (DKD) yang belum menyiapkan filem iaitu sama ada meneruskan projek terbabit, runding semula pembayaran atau pulangkan dana yang diambil. Ini bagi memastikan isu penyelewengan dana tidak berulang kerana ia akan menjejaskan industri perfileman secara keseluruhannya.

Timbul juga desakan untuk mendedahkan kepada umum nama 47 individu serta syarikat produksi yang gagal menerbitkan sebarang filem sekalipun sudah menerima dana berkaitan.

Penulis percaya tindakan adalah bagi memberi pengajaran kepada mereka supaya lebih bertanggungjawab.

Pihak KKD juga memberi amaran bahawa syarikat produksi yang gagal membayar tuntutan Finas akan berdepan tindakan disenarai hitam.

Bagi memastikan dana dapat dimanfaatkan sepenuhnya, tapisan ketat akan dijalankan demi menjaga kualiti filem yang dihasilkan.

Penghargaan turut dirakamkan kepada Finas terutama Md Nasir dan pasukannya yang sentiasa berusaha memaksimumkan potensi industri kreatif tempatan.

Bagaimanapun, isu dana tidak boleh dipandang remeh kerana masih menjadi buah mulut anggota masyarakat yang mahu melihat industri seni negara semakin berkembang maju dan bersaing secara sihat.

Hanya kerana tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab agak mustahil jika bantuan dana Finas berkenaan dimansuhkan sebaliknya perlu kajian menyeluruh mengenai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam permohonan dana terbabit.

Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 7:01 AM