Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 (Akta 244) bagi membaiki kelompongan dan kekangan dalam peruntukan undang-undang berkenaan.

Menterinya, Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 baru-baru ini turut membuat teguran berhubung Geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang bermasalah.

"Saya sudah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS untuk meneliti apa yang berlaku.

"Kita juga mendapati Akta FINAS itu sendiri mungkin perlu dipinda kerana ada beberapa kekangan dan kelompongan yang mungkin perlu diperbaiki," katanya selepas Mesyuarat Kabinet, tadi.

Fahmy yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata, akta berkenaan digubal sejak sekian lama.

Beliau berkata, berikutan itu, ada banyak perkara dalam akta berkenaan jauh berbeza tatkala kerajaan mendepani industri perfileman ketika ini.

Katanya, antara lain membabitkan pembiayaan, model perfileman dan medium yang digunakan.

"Struktur lembaga pengarah juga suatu isu. Ketika ini, akta itu melarang ahli lembaga FINAS, keluarga dan mereka yang terdekat untuk menerima apa-apa geran daripada FINAS.

"Sekarang timbul persoalan sekiranya yang terbabit dalam lembaga pengarah FINAS ini hanya golongan veteran yang sudah lama terpisah daripada proses pembikinan filem. Apa kesannya dari segi hala tuju pembangunan industri filem negara ?" katanya.

Fahmy berkata, akta berkenaan juga mengekang penggiat seni perfileman yang masih aktif untuk berkarya jika mereka berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada ahli lembaga FINAS.

Beliau berkata, FINAS sudah meneliti dan mengemukakan deraf untuk meminda akta itu kepadanya, namun ia masih belum dibentangkan kepada Perdana Menteri.

Pada masa sama, Fahmy berkata, syarikat yang ditegur dalam LKAN Siri 2 membabitkan isu DKD juga sudah berhubung dengan kementeriannya dan memberikan penjelasan.

LKAN Siri 2 yang dibentangkan bulan lalu, antara lain menegur mengenai pembayaran projek DKD 2017 hingga 2019 berjumlah RM4 juta yang gagal disiapkan setakat 31 Mei 2022; pembayaran DKD berjumlah RM3.25 juta sebelum projek terdahulu diselesaikan; penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli Perbadanan atau Jawatankuasa; pembayaran tidak teratur DKD berjumlah RM60,000 dan penjualan hak penyiaran tanpa kelulusan.

Sementara itu, Fahmy berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta KKD dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meneliti isu royalti pemuzik di negara ini termasuk waris Tan Sri P Ramlee.

Bagi tujuan itu, beliau dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti aspek pembayaran royalti dan pembangunan industri muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 5:24 PM