Anggota polis mengiringi suspek untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO  Mikail Ong
Anggota polis mengiringi suspek untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin


TAHANAN lelaki berusia 33 tahun yang meloloskan diri dari kawasan Mahkamah Majistret Georgetown, 6 September lalu disambung reman tiga hari lagi sehingga Khamis ini.

Sebelum ini, suspek yang berjaya ditahan semula di Sungai Nibong, Sabtu lalu sudah direman tiga hari yang berakhir hari ini.

Tempoh tahanan reman dilanjutkan untuk polis meneruskan siasatan dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dengan dikawal dua anggota polis dalam keadaan bergari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek itu ditahan 6 petang Sabtu lalu hasil intipan dan maklumat awam diterima ketika cuba melarikan diri dengan menaiki bas ekspres.

Dalam kejadian 5.20 petang, 6 September lalu, suspek meloloskan diri sewaktu empat anggota polis membawa 29 lelaki dengan tiga set gari berantai dari lokap mahkamah ke kenderaan.

Semasa kejadian itu, suspek bersama seorang lagi lelaki berusia 37 tahun meloloskan diri sebelum seorang daripadanya ditahan polis tidak lama kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 3:44 PM