Tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk direman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk direman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail

TIGA individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk direman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Majistret Izza Zulaika Ruhanuddin membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita hingga Jumaat ini.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada jam 9.10 pagi dengan pakaian reman SPRM dan tangan bergari.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Sumber turut memberitahu, ketiga-tiga suspek juga disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM, kelmarin ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari manakala seorang lagi suspek iaitu pengarah syarikat berusia 51 tahun pula ditahan kira-kira sejam kemudian.

Suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun ditahan pada jam 2 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 12:33 PM