Chef Wan menjalani rawatan kanser limfoma di hospital.
Chef Wan menjalani rawatan kanser limfoma di hospital.

Kuala Lumpur: Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 65, bersyukur sel kanser limfoma dihidapinya tidak menyerang bahagian otak.

Chef Wan berkata dia mendapat perkhabaran baik itu selepas menjalani rawatan kemo semalam.

Menurutnya, dia ada berdepan kesakitan sewaktu rawatan namun tidak lama.

"Saya menjalani rawatan kemo pada tulang belakang sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya sel kanser limfoma saya cuba menyerang otak. Proses itu sangat cepat, cuma 15 minit.

"Selepas prosedur itu, saya terus tertidur selama empat jam. Pada jam pertama, saya boleh rasa kesakitan dan kurang selesa. Saya rasa sedikit pening-pening juga.

"Doktor kemudian memaklumkan keputusan ujian baik dan sel kanser belum sampai ke otak lagi. Saya sangat bersyukur mendapat berita itu," katanya.

Dalam pada itu, Chef Wan juga sangat waspada mengambil ubat-ubatan dalam proses kemo dijalani agar tidak memberi kesan kepada organ dalaman.

"Sepanjang hari saya mengambil segala jenis pil untuk melindungi kemo itu daripada memberi kesan sampingan dan menjaga organ dalaman saya," katanya.

Pada minggu lalu, Chef Wan berkongsi khabar sedih memaklumkan dirinya disahkan menghidap kanser limfoma selepas dua kali melakukan ujian electrocardiogram (ECG).

Doktor turut memaklumkan padanya bahawa dia mempunyai peluang untuk sembuh antara 70 hingga 80 peratus.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 11:41 AM