Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Baru selesai menjalani pembedahan akibat kanser tiroid September lalu, seorang suri rumah kini bergelumang pula dengan kanser limfoma tahap empat.

Norashikin Zakariya, 35, berkata, secara langsung dia mengalami tekanan memikirkan wang simpanannya hanya tinggal RM50 dalam akaun bank dan tidak mampu membayar kos rawatan termasuk kemoterapi dan bil hospital.

Katanya, dia hanya bergantung sepenuhnya dengan suami, Muhammad Saiful Aswad, 36, yang bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

"Saya disahkan menghidap kanser tiroid tahap dua pada 7 Jun lalu dan doktor memaklumkan saya perlu menjalani pembedahan segera membuang kelenjar tiroid di leher pada 5 September lalu.

"Selepas pembedahan itu berjaya dilakukan, saya hanya berehat dan perlu makan ubat seumur hidup.

"Namun ketika menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, saya disahkan pula menghidap kanser limfoma tahap empat, 26 Oktober lalu.

"Doktor memaklumkan sel kanser itu berada di paru-paru dan dalam perut menyebabkan saya bimbang mengenangkan nasib lima anak yang masih kecil jika apa-apa berlaku pada saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala Bukit, Tobiar, di sini hari ini.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (kiri) melihat laporan perubatan Norashikin Zakariya yang menghidap kanser tiroid dan kanser limfoma tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (kiri) melihat laporan perubatan Norashikin Zakariya yang menghidap kanser tiroid dan kanser limfoma tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Norashikin berkata, dia perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam pusingan di HSB dan setiap satu pusingan, dia perlu tinggal di wad sekurang-kurangnya dua minggu.

Katanya, dia terpaksa meninggalkan anak-anak yang berusia tiga hingga 15 tahun yang dijaga suaminya manakala yang bongsu berusia 15 bulan dihantar ke rumah pengasuh setiap hari.

"Saya perlu membayar upah pengasuh RM12 sehari selain membayar bil hospital RM200 setiap kali masuk wad.

"Pendapatan suami pula tak mampu nak bayar semuanya termasuklah menyara tiga anak yang masih sekolah, rumah sewa, bil elektrik dan air, lampin pakai buang dan susu formula untuk anak berusia tiga tahun dan 15 bulan.

"Saya buntu memikirkan masalah kewangan apatah lagi bayaran rumah sewa ini tertunggak hampir dua bulan, selain bil elektrik dan air," katanya.

Menurut Norashikin, dia pula terpaksa meminjam kereta rakan suami setiap kali menghantarnya ke hospital kerana mereka tidak mempunyai kereta selain tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

Katanya, hari ini dia akan menjalani rawatan kemoterapi pusingan kedua di HSB dan terpaksa berpisah dengan suami serta anak-anaknya selain memerlukan kos untuk menampung kos rawatan di hospital.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepadanya boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0213129000131953 milik Norashikin Zakariya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi Norashikin menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur dan susu formula khas untuk pesakit berkenaan.

Selain itu, Zuraini turut memberi kata semangat untuknya meneruskan rawatan yang disarankan oleh doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 10:46 AM