Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menyampaikan sijil pembukaan akaun syarikat  kepada penerima pada Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di Bluewave Hotel Johor Bahru Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menyampaikan sijil pembukaan akaun syarikat kepada penerima pada Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di Bluewave Hotel Johor Bahru Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kerajaan sentiasa menyediakan kaedah untuk membantu dan menggalakkan usahawan wanita termasuk menyediakan peruntukan dalam bajet negara.

Timbalan Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usahawan wanita mempunyai peranan besar dalam menjadikan Malaysia lebih maju.

"Usaha membantu usahawan dan peniaga wanita juga semakin meningkat. Saya yakin dalam Bajet 2024 juga peruntukan untuk usahawan wanita tentunya akan diadakan dan dipertingkatkan lagi," katanya di Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di sini, semalam.

Majlis anjuran Persatuan Usahawan Muslimah Johor (PUMJ) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Bank Rakyat itu mendapat sambutan baik apabila dapat menghimpunkan 300 usahawan dan peniaga wanita terdiri daripada golongan B40.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan usahawan wanita perlu ada ilmu dan maklumat tentang perniagaan supaya mereka tidak terjerumus ke dalam penipuan dan membawa kepada kerugian.

Katanya, usaha PUMJ wajar diteruskan untuk menambah ilmu dan memberi maklumat dalam membantu usahawan wanita.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas PUMJ, Rozita Muhamad Sanusi berkata, pihaknya membawa agensi berkaitan berkongsi maklumat dan memberi pendedahan kepada usahawan dan peniaga khususnya dalam soal mendapatkan geran atau bantuan perniagaan.

Katanya, antaranya adalah SMECorp, Bank Rakyat dan MyIPO yang berkongsi maklumat bantuan perniagaan.

"PUMJ menjadi pemudah cara kepada golongan sasar untuk mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma, membuka akaun syarikat di Bank Rakyat dengan harga istimewa RM250 berbanding sepatutnya RM1,000.

"Kita juga selalu mendapatkan bantuan MAINJ untuk disalurkan kepada peniaga-peniaga di bawah PUMJ yang terjejas akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang lalu, selain membantu mendapatkan lesen penjaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 4:33 PM