Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemuramah selepas merasmikan Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di Bluewave Hotel Johor Bahru Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemuramah selepas merasmikan Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di Bluewave Hotel Johor Bahru Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Melaka menjadi negeri pertama bagi sesi libat urus antara Kementerian Kewangan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan pandangan serta input berkaitan Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jelajah dan sesi dialog ke negeri-negeri juga sudah disusun dan dijangka akan mengambil masa selama sebulan.

"Kita adakan Dialog Belanjawan dengan kerajaan negeri Melaka, selepas itu kita pergi ke negeri-negeri yang lain yang telah disusun jadualnya.

"Saya berharap supaya rakyat juga boleh memberikan pandangan melalui portal di Kementerian Kewangan, berhubung pandangan terhadap Belanjawan 2024.

"Rakyat juga boleh memberikan pandangan dan cadangan melalui portal di Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2024," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2024 yang dijadualkan dibentang di Parlimen pada 13 Oktober ini, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau yakin bahawa peruntukan serta bantuan untuk usahawan wanita dan usahawan belia akan meningkat dalam belanjawan tahun hadapan.

"Saya yakin dalam Belanjawan 2024, peruntukan untuk usahawan wanita tentunya akan diadakan dan akan dipertingkatkan lagi bagi membantu wanita di luar sana melakukan perniagaan.

"Saya berpesan kepada mereka supaya ada ilmu dan maklumat tentang perniagaan. Dengan adanya ilmu dan maklumat tentang perniagaan, maka mereka tidak terjerumus ke dalam penipuan dan membawa kepada kerugian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 5:13 PM