Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Pertembungan di 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dapat dielakkan berikutan ada pihak yang merasakan 'kuat' dan mampu menang.

Sehubungan itu, Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon daripada komponen parti itu bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

"(Pertembungan tidak dapat elak) sebab ada dalam kalangan pemimpin Umno kata kalau bertembung pun dia boleh menang, jadi rasa 'cocky'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat serta menyampaikan Suratan Hakmilik Tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang di Dewan Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada PN akan memberi laluan kepada Umno dan BN untuk bertanding bagi mengelak kerusi berkenaan jatuh ke tangan atau terus dikuasai PH, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini, tiada perbincangan ke arah itu.

AHMAD Samsuri (tengah) menyampaikan surat hak milik tanah RTB DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (tengah) menyampaikan surat hak milik tanah RTB DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang. FOTO Ghazali Kori

"Pas akan ambil kerusi itu macam biasa, sama ada Pas atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bergantung kepada keputusan akhir perundingan antara Pas dengan Bersatu dengan rakan-rakan dalam PN.

"Ada yang Bersatu ambil ada yang Pas ambil (dan) ada Gerakan ambil… jadi kita lihat hasil rundingan nanti," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, pengagihan kerusi dalam gabungan PN kini sudah mencapai 90 peratus dan pihaknya akan melakukan satu lagi siri perundingan esok.

"Kita sudah 90 peratus selesai tinggal dalam 10 peratus , InsyaAllah, esok ada satu siri lagi perundingan," katanya.

Berdasarkan keputusan PRU-14, semua 27 kerusi kritikal itu dimenangi PH namun jika digabungkan jumlah undi diperoleh BN dan Pas pada 2018, jumlahnya lebih tinggi berbanding yang dimenangi PH.

Semua kerusi berkenaan dahulu yang menjadi milik Umno-BN dan Pas, kini milik PH kerana pertembungan tiga penjuru pada PRU-14.

Difahamkan, 27 kerusi kritikal itu membabitkan 20 kerusi Parlimen majoriti Melayu yang dimenangi PH pada PRU-14 serta tujuh lagi yang menyaksikan PH kalah tipis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 3:54 PM