Nurul Hidayah Bahaudin


Petra Jaya: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Sharifah Hasidah Sayeef Aman Ghazali, calon PAS, Ustaz Yusof Ahmad Sharkawi dan Nani Sahari dari PAN.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Samariang, Jumaini Haili pada jam 11.30 pagi tadi.

Ketiga-tiga calon berkenaan menghantar kertas pencalonan secara serentak di pusat penamaan calon di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi pada jam 9.15 pagi tadi.

Calon BN, Sharifah Hasidah diiringi pencadang, Wasli Ibrahim dan penyokong, Hanifah Saed, manakala, calon PAS ditemani pencadang, Arbi Mahdi serta penyokong, Habsah Bujang. Sementara itu, calon PAN diiringi pencadang, Siti Raliawati Bolkassim Khan dan penyokong, Hadina Umar.

Sharifah Hasidah sebelum itu diiringi Ketua Pergerakan Wanita BN Pusat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berarak bersama lebih 500 penyokong dari Masjid Husnu Khatimah di Jalan Cenderawasih ke pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi tadi.

Kerusi DUN Samariang dimenangi oleh Sharifah Hasidah pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 (PRN10) apabila mengalahkan pencabarnya, Zulrusdi Mohamad Hol dari PKR dengan majoriti 5,431 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 11:46 AM