Amirudin (kiri) memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi ini. FOTO FAIZ ANUAR
Amirudin (kiri) memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pagi ini. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari memulakan tugas Menteri Besar bagi penggal baharu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pagi ini.

Amirudin tiba pada 7.58 pagi dan mengimbas cap jari dan kad pada perakam masa tepat jam 8 pagi tadi di Pejabat Menteri Besar di Tingkat 21 bangunan berkenaan.

Sebaik tiba, beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim serta kakitangan pentadbiran Pejabat Menteri Besar.

Selepas ini, Amirudin yang juga Menteri Besar ke-16 akan memulakan tugas secara rasmi dengan menghadiri perhimpunan penjawat awam serta melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang, di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin dilantik semula jawatan itu selepas PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Pada PRN itu, beliau mempertahankan kerusi Sungai Tua yang disandang sejak 2008 selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Hanif Jamaluddin dan G Suman (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 9:17 AM