PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon Dun N.16 Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) ketika berarak ke Pusat Penamaan Calon Dun N.16 Sungai Tua di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu Gombak, Selangor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. FOTO Aswadi Alias.
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon Dun N.16 Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) ketika berarak ke Pusat Penamaan Calon Dun N.16 Sungai Tua di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu Gombak, Selangor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. FOTO Aswadi Alias.
Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang meriah dengan kehadiran top gun (pemimpin utama) parti politik tanah air untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dilihat mengiringi tiga calon gabungan berkenaan.

Presiden PKR itu dilihat hanya menghantar calon di luar perkarangan PPC tiga Dun terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Jalan Gombak di sini, 9.10 pagi, sebelum beredar.

Turut kelihatan, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meneruskan mengiringi tiga calon ke PPC terbabit.

Mereka mengiringi calon gabungan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (PKR) yang tampil mempertahankan kerusi Dun Sungai Tua yang dimenangi beliau sejak 2008 serta Setiausaha Politik Menteri Besar, Juwairiya Zulkifli (PKR) yang akan bertanding di Hulu Kelang.

Turut diiringi ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN) yang menghantar pencalonan untuk bertanding di kerusi Gombak Setia.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba ke pusat berkenaan kira-kira 8.30 pagi bagi memberikan sokongan kepada calon gabungan PN.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini, PN mempertaruhkan Pengerusi PN Selangor yang juga bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu) untuk bertanding di Hulu Kelang, serta Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin (PAS) di Sungai Tua.

Selain itu, penyandang kerusi Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (Bersatu) mempertahankan Dun sama bakal menentang Megat Zulkarnain.

Sementara itu, suasana di luar pusat berkenaan meriah dengan kehadiran jentera dan penyokong pelbagai parti.

Setakat ini, proses penamaan calon terkawal tanpa sebarang provokasi dengan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serentak pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal, 8 Ogos ini.

PRN kali ini membabitkan 36 Dun di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 9:57 AM