Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Rakyat Terengganu digesa bangkit dengan memilih Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRN kali ini adalah masa paling sesuai untuk rakyat menukar semula kerajaan yang sedia ada kepada Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya tidak mahu Terengganu bakal menjadi seperti Kelantan yang diperintah Pas selama 33 tahun, namun masalah air tidak dapat diselesaikan.

"Perasaan saya di hari Jumaat, penghulu segala hari, BN dan Pakatan Harapan (PH) yang akan mengambil alih kerajaan Terengganu.

"Kita harap kali ini rakyat Terengganu bangkit, bangkit dan tukarkan kerajaan Terengganu kepada Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

"Bagi saya, inilah masa paling sesuai untuk kembali merampas Terengganu daripada Pas," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga kanan) mengibarkan bendera parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sebagai gimik perasmian Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1. FOTO GHAZALI KORI
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga kanan) mengibarkan bendera parti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sebagai gimik perasmian Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1. FOTO GHAZALI KORI

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Ahmad Zahid lagi, beliau mengakui permasalahan dalaman yang berlaku dalam Umno Kelantan memberi peluang kepada Pas memerintah selama 33 tahun.

"Saya takut apa yang berlaku di Kelantan 33 tahun diperintah Pas, masalah air tidak selesai. Apabila Tok Mat Yakob (Datuk Ahmad Yakob) menjadi Menteri Besar Kelantan, ketika itu 33 tahun yang lalu, memang kita akui ada masalah dalaman Umno di Kelantan.

"Akhirnya, daripada satu penggal ke dua penggal, tiga penggal dan sehingga sekarang Kelantan diperintah Pas.

"Tetapi, untuk rakyat Terengganu, jangan pernah izinkan Pas untuk memerintah untuk penggal yang kedua pada kali ini, cukuplah sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 2:41 PM