Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dua negeri iaitu Terengganu dan Kedah akan 'swing back' kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia berdasarkan dua negeri berkenaan yang sebelum ini pernah diperintah oleh BN sebelum dirampas oleh Pas.

"Untuk Kelantan pula, ia bukan istilah 'swing back' sebaliknya negeri yang sangat taksub kepada sebuah parti yang menjanjikan syurga.

"Namun, untuk 'swing back' bagi negeri Kedah dan Terengganu, ia memerlukan syarat termasuk semua jentera bekerja kuat di semua peringkat.

"Pada masa sama, jentera perlu menyantuni pengundi atas pagar dan tidak bermain parti supaya mereka tidak termakan dengan janji kosong yang dibawa Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Kawasan DUN di Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada masa sama, beliau turut yakin tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang berjaya dipertahankan.

"Ini bukan mahu mendahului hukum Allah, sebaliknya kita yakin tiga negeri berkenaan memihak kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

AHMAD Zahid (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Komponen Kerajaan Perpaduan di Pejabat UMNO Kelantan. FOTO BERNAMA
AHMAD Zahid (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Komponen Kerajaan Perpaduan di Pejabat UMNO Kelantan. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 4:38 PM