MAHDZIR bersama Muhamad Khizri selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
MAHDZIR bersama Muhamad Khizri selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: "Kita lawan dulu". Itu reaksi ringkas calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim selepas diumumkan akan bertanding di kawasan yang diwakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ahli perniagaan berusia 45 tahun itu berkata, biarpun dijangka berdepan pemimpin nombor satu di negeri itu, beliau tetap mahu memberikan tentangan sengit.

Katanya, beliau tetap optimis dengan peluang BN di kawasan itu hasil gerak kerja dilakukan di kawasan berkenaan beberapa tahun lalu.

"Tak apalah (berdepan Muhammad Sanusi). Kita buat kerja saja. Apa jadi pun, kita lawan dulu. Peluang tetap ada, kita serahkan saja pada pengundi," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Calon BN di ibu negara malam tadi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) itu menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah selepas ia dimenangi Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu pada 2018.

Muhammad Khizri berkata, beliau berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberi kepercayaan kepada orang muda untuk membawa cabaran di kerusi itu.

"Cabaran sentiasa ada dalam mana-mana pertandingan. Biarpun berdepan Menteri Besar, jentera kita sudah bergerak dan kita positif untuk menyumbang satu kerusi kepada BN.

"Saya berharap pertandingan ini berlaku secara sihat dan bukannya 'dirty politics'. Kita bawa naratif perlu selari dengan kerajaan pusat untuk pembangunan negeri dan kawasan," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Sik.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, 14 calon BN yang diumumkan semalam dirasakan mampu membawa cabaran parti dalam PRN kali ini.

Katanya, persediaan sudah dilakukan di peringkat negeri bersama Pakatan Harapan (PH) menerusi jawatankuasa pilihan raya.

"Saya yakin dengan calon yang kita tampilkan. Mereka akan dibantu oleh negeri angkat dalam kempen serta jentera parti yang sedia ada," katanya yang turut menggalas cabaran di Dun Pedu.

Antara muka baharu yang dicalonkan ialah Ketua Puteri Umno Kedah, Nuraini Yusuff yang bertanding di Bandar Baharu, Hayazi Azizan (Ayer Hitam) dan Mohamad Fadzil Zokipli dinamakan sebagai calon di Sungai Tiang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 12:53 PM