Noorazura Abdul Rahman


Sik: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim tidak berasa tertekan atau gentar apabila berdepan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Ketua Umno Bahagian Sik itu berkata, bebanan itu sebenarnya ditanggung Muhammad Sanusi yang mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua.

"Saya tidak tertekan, saya tidak rasa gentar kerana saya berdepan dengan Menteri Besar daripada Perikatan Nasional (PN) .Beban bukan pada saya. Tidak hairanlah jika saya kalah tetapi jika saya menang, rakyat Malaysia akan mengingati saya untuk lima tahun akan datang.

"Sebagai underdog, saya optimis dengan peluang saya untuk mencabarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya DUN Jeneri, Mahamad Suhaimi Man di depan Pejabat Daerah dan Tanah Sik, di sini, hari ini.

Khizri berkata beliau akan cuba mendekati seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh kempen yang bermula hari ini.

MUHAMMAD Sanusi (kanan) bersama Mohamad Khizri selepas selesai penamaan calon. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi (kanan) bersama Mohamad Khizri selepas selesai penamaan calon. FOTO Syaharim Abidin

"Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi terutamanya pengundi muda untuk menjelaskan kepada mereka agenda saya untuk Jeneri.

"Sebelum ini dikatakan BN tidak mendekati pengundi untuk menjelaskan apa yang kita ingin lakukan, sebab itu pengundi muda hanya bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan dicalonkan sebagai Menteri Besar seterusnya sekiranya memenangi kerusi itu, Khizri berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.

"Terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk mencadangkan calon ke istana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 4:08 PM