HAMZAH. FOTO Arkib NSTP
HAMZAH. FOTO Arkib NSTP
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan ke atas Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai penganiayaan berunsurkan politik dengan menyalahgunakan perundangan negara.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau mempertikai tindakan yang dianggapnya dwistandard walhal ada saja pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang mengeluarkan kenyataan berunsurkan hasutan.

Sewajarnya, beliau menegaskan 'layanan' sama perlu diambil terhadap pemimpin kerajaan yang turut melakukan perbuatan sama.

"Saya menentang keras siri pendakwaan terpilih dan perbuatan menyalahgunakan Akta Hasutan bagi tujuan penganiayaan politik, memandangkan ada pemimpin bukan Perikatan Nasional (PN) yang terbabit mengeluarkan kenyataan menghasut tidak pula dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Mengenai tindakan polis menyerbu dan menangkap Muhammad Sanusi pada jam 3 pagi, Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri menyifatkan ia sebagai perbuatan berlebih-lebihan.

Beliau turut mendakwa tindakan sedemikian seperti penganiayaan yang sengaja dibuat hanya kerana dendam politik.

"Jadi apa perlunya Menteri Besar Kedah dilayan sebegitu rupa? Sedangkan beliau telah pun memohon maaf dalam isu ini dan beliau juga telah menyatakan kesediaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dengan notis untuk hadir ke mahkamah juga telah diserah terima.

"Pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi adalah untuk kesalahan di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum hanya RM5,000.

"Malah, pasukan pendakwaan yang diketuai Peguamcara Negara sendiri menawarkan jaminan hanya RM5,000. Jadi, adalah amat jelas cara penangkapan tersebut melampau dari kesalahan yang didakwa," katanya.

Berhubung polemik yang berlaku berkait institusi diraja, Hamzah menegaskan adalah menjadi dasar utama PN untuk sentiasa menjunjung, memelihara dan mempertahankan kemuliaan institusi berkenaan sebagai Raja Berperlembagaan.

Tegasnya lagi, dasar itu akan terus dipertahankan.

"Kepada semua pihak khususnya penyokong PN kekal bertenang serta jaga ketertiban awam dan marilah kita sama-sama berdoa agar Menteri Besar Kedah mendapat keadilan di mahkamah," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 11:04 PM