ANTARA pemimpin PN yang hadir di Mahkamah Sesyen Selayang bagi memberi sokongan kepada Muhammad Sanusi. FOTO NSTP.
ANTARA pemimpin PN yang hadir di Mahkamah Sesyen Selayang bagi memberi sokongan kepada Muhammad Sanusi. FOTO NSTP.
Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Selayang: Beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkumpul di Mahkamah Seksyen, di sini bagi memberi sokongan kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim; Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad dan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Awang Solahuddin ketika ditemui berkata, bukan kali pertama ahli politik daripada PN berdepan tindakan undang-undang.

"Ini proses undang-undang, bukan kali pertama yang kita hadapi... daripada dahulu lagi sehingga ada yang terkorban.

"Ini bukan masalah kawal mulut atau apa. Tidak ada apa bila kita bertemu dalam pentas politik selesai cara politik. Ini biasa, dulu PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum jadi PM dan Ketua Pembangkang pun sama," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berhubung kes Muhammad Sanusi.

"Bab jejas atau tidak, kita tidak mahu komen, kita serah kepada proses undang-undang. Kalau kita tengok dahulu pun PMX (Anwar)pernah ditarik balik pingat dia.

"Benda sudah terlajak dan ini mungkin pengajaran buat masa depan untuk semua, bukan untuk Sanusi sahaja. Dia sudah juga sudah minta maaf," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah politik, minggu lalu.

Beliau sedang menghadapi satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 10:10 AM