Anwar ketika berucap pada Program kita Hulu Klang bersama Perdana Menteri di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2 Taman Keramat. FOTO Hazreen Mohamad
Anwar ketika berucap pada Program kita Hulu Klang bersama Perdana Menteri di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2 Taman Keramat. FOTO Hazreen Mohamad
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan ada pihak mengatakannya zalim kerana menghadapkan seorang pemimpin bagi dakwaan menghina institusi Raja.

Bagaimanapun Perdana Menteri buann beliau membuat laporan tetap sebaliknya laporan dibuat Dewan Diraja Selangor.

Pemimpin itu yang disebut Anwar adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dihadapkan ke ke Mahkamah Sesyen Selayang Selasa lalu, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu sebelumnya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menceritakan perkara itu ketika berucap pada Program Kita Hulu Kelang PMX bersama Penduduk Hulu Kelang di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Anwar menjelaskan tindakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu adalah provokasi jelas terhadap institusi diraja, selain Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu sengaja mencari masalah.

"Orang kata saya zalim hadapkan beliau ke mahkamah, tetapi bukan saya yang membuat laporan. Ia dibuat Dewan Diraja Selangor yang mendapat perkenan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah).

"Kalau betul tidak salah, mengapa Pesuruhjaya Pas Selangor mengadap Tuanku bagi memohon ampun dan Tuanku bertitah, 'tidak selesai' dan kemudian hari berikutnya polis menahan dia (Muhammad Sanusi) untuk pendakwaan.

"Tiada siapapun boleh terlepas undang-undang. Hari-hari dia maki saya, ada saya dakwa, ada saya suruh polis tangkap. Tidak ada. Tetapi apabila kamu sentuh Raja, kalau memang cari penyakit, sebab Raja mengatasi politik," katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan beliau tidak terbabit dengan pendakwaan yang dibuat ke atas Muhammad Sanusi.

"Semua kata salah saya apabila pendakwaan dibuat. Bukan, ia semua di bawah bidang kuasa polis, pendakwa raya serta Peguam Negara. Saya tidak terbabit dalam mana-mana proses," katanya.

Sebelum ini, Muhamad Sanusi ketika ceramah PN di Selayang dilaporkan memperlekehkan pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor.

Menteri Besar itu Sanusi juga membuat perbandingan antara Sultan Kedah (Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) dan Sultan Selangor, mengatakan pilihan Sultan Sharafuddin adalah 'cokia'.

Susulan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda RM5,000.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang boleh mencetuskan ketidaksetiaan terhadap Raja-raja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 9:47 AM