Omar Ahmad


Johor Bahru: Jejantas pejalan kaki berhawa dingin dibangunkan bagi menghubungkan pusat beli-belah Komtar JBCC dan kemudahan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Bukit Chagar di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, jejantas sepanjang 42 meter yang bernilai antara RM10 juta dan RM15 juta itu dijangka akan dibuka pada tahun 2027.

Katanya projek itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Al-Salām REIT dengan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

"Projek ini bermula pada tahun ini dan dalam peringkat pertengahan. Kita jangka siap pada Disember 2026 dengan harapan ia boleh disiapkan sebelum RTS siap.

"Jejantas berkenaan menawarkan laluan yang lancar, selamat dan mudah antara stesen dan pusat beli belah selain kawasan di sekitar Ibrahim International Business District (IIBD) termasuk juga Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

"Ia akan dibuka 24 jam dengan kemudahan kedai di laluan jambatan tersebut" katanya selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Damansara REIT Managers Sdn. Bhd. (DRMSB) yang juga pengurusan Al-Salām REIT, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid.

Menurut Mohamad Fazli, pihaknya berharap inisiatif itu akan beri impak kepada pejalan kaki, sekaligus mampu merancakkan semula potensi pendapatan Komtar JBCC dan premis di sekitarnya.

Terdahulu, Mohamad Fazli menyaksikan majlis MoU yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya Trustees Berhad yang juga Pemegang Amanah Al-Salām REIT, Zainudin Suhaimi dan Pengarah Projek RTS Link, MRT Corp., Zulkifli Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 8:23 PM
Mohamad Fazli (berdiri, dua dari kanan) menyaksikan majlis MoU yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya Trustees Berhad yang juga Pemegang Amanah Al-Salām REIT, Zainudin Suhaimi dan Pengarah Projek RTS Link, MRT Corp., Zulkifli Mohamed. FOTO OMAR AHMAD
Mohamad Fazli (berdiri, dua dari kanan) menyaksikan majlis MoU yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif AmanahRaya Trustees Berhad yang juga Pemegang Amanah Al-Salām REIT, Zainudin Suhaimi dan Pengarah Projek RTS Link, MRT Corp., Zulkifli Mohamed. FOTO OMAR AHMAD