Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan sedang menimbang cadangan pembinaan jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) di bandar raya sekali gus mewujudkan sistem pengangkutan lebih bersepadu.

Malah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, sebuah syarikat swasta turut berminat membangun LRT di bandar raya ini dengan cadangan projek berkenaan sudah dihantar untuk penilaian kementerian.

"Kita akan pertimbangkan semua cadangan untuk bina LRT di Johor Bahru termasuk daripada pihak swasta.

"Sebuah syarikat swasta, baru-baru ini juga sudah menyatakan minat untuk membina LRT di Johor Bahru namun ia masih di peringkat awal dan memerlukan penilaian lanjut Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pas tanpa had MyBAS dan bas awam elektrik pertama Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor tahun lalu, Mohamad Fazli memaklumkan, Johor berhasrat membangunkan sistem pengangkutan LRT di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar raya itu yang semakin kritikal.

Anthony Loke (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Bas Elektrik pada Pelancaran Pas Tanpa Had Mybas50 dan Bas Elektrik bagi Program Mybas Johor Bahru di Terminal Bas Larkin Sentral hari ini. FOTO BERNAMA
Anthony Loke (kiri) menyempurnakan gimik perasmian Bas Elektrik pada Pelancaran Pas Tanpa Had Mybas50 dan Bas Elektrik bagi Program Mybas Johor Bahru di Terminal Bas Larkin Sentral hari ini. FOTO BERNAMA

Dalam pada itu, ketika ditanya perkembangan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Siew Fook berkata, kementeriannya sudah meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual.

"Sudah tentu terdapat sedikit kelewatan, tetapi MRT Corp sedang membetulkan masalah itu.

"Saya sudah memberi arahan dari semasa ke semasa supaya projek bilateral antara dua negara ini dapat disiapkan pada penghujung 2026.

"Ini kerana RTS dijadualkan beroperasi pada 2027, maka ia perlu siap mengikut jadual," katanya.

Jun tahun lalu, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, kemajuan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura sudah mencapai tahap 17 peratus.

Beliau dilaporkan berkata, penjadualan pembinaan projek nasional itu berjalan secara lancar bagi memastikan infrastruktur RTS Link Johor Bahru-Singapura itu disiapkan menjelang Disember 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 4:26 PM