MOHD Salim. FOTO Facebook.
MOHD Salim. FOTO Facebook.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif mengesahkan namanya dihantar kepada kepimpinan atasan Umno untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram Padang, Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Bagaimanapun katanya, sama ada dicalonkan atau tidak, perkara itu terserah kepada kepimpinan Umno dan beliau akan menerima segala keputusan yang dibuat.

"Kalau rasa perkhidmatan saya diperlukan di situ saya terima, tetapi kalau sebaliknya bukan saya, terserahlah. Saya sudah sedia menerima (apa juga keputusan)," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai desas-desus akan menjadi calon bertanding di kerusi Dun Jeram Padang.

Kerusi Jeram Padang disandang wakil MIC yang mengumumkan tidak bertanding pada PRN nanti.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan Mohd Salim sudah menghantar surat rayuan untuk dilepaskan daripada penggantungan enam tahun dikenakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno terhadapnya Januari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Salim menyatakan bahawa Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meminta beliau untuk 'buat kerja' di Dun berkenaan.

Katanya, semasa menjadi ahli parlimen sebelum ini, beliau menjalankan pelbagai program di Dun itu dan memberikan pelbagai bantuan.

Mohd Salim berkata, orang Asli di Dun berkenaan sebelum ini tidak mahu untuk menerima vaksin tetapi berkat formula 'satu kampit beras, satu cucuk vaksin' diilhamkannya, mereka menerimanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Orang Asli Panchor, John Baharyn Ayom berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya Mohd Salim sebagai calon di Dun Jeram Padang.

"Beliau layak dicalonkan di kerusi itu. Orang Jeram Padang memang kenal dia. Sebelum ini banyak program diadakan bersama penduduk.

"Dia sudah banyak berjasa di Dun Jeram Padang semasa menjadi ahli parlimen termasuklah kepada kampung-kampung orang Asli, Melayu, Cina dan India," katanya

Selain Mohd Salim, turut dilaporkan dijangka bertanding di Dun Jeram Padang adalah bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), R Sri Sanjeevan atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 1:09 PM